Komen tentang Soalan Sejarah SPM 2017

Waktu SPM dulu ada satu perkara yang sangat saya kesalkan. Iaitu bila saya guna buku skema jawapan untuk belajar sejarah. Tak tau sekarang ni ada lagi ke tak buku tu, dia buku yang senaraikan setiap satu soalan sejarah SPM, lepas tu bagi satu per satu jawapan untuk soalan tu dalam bullet points siap dengan pecahan markah. Buku tu lah yang saya buat jadi buku hafazan beberapa hari sebelum periksa SPM.
Sungguh, apa yang saya lagi kesalkan adalah, buku tu SANGAT BERKESAN. Pagi saya meneran hafal skema, petang tu muntahkan balik dalam periksa, dengan siap tau pecahan markah untuk setiap baris jawapan. Akhirnya dapat A+! Jadi sekarang ni saya tertanya balik, itu je ke nilai ilmu sejarah saya? Hafal skema jawapan? Lepas tu dapat markah cemerlang?
Jadi bila saya diberitahu tentang soalan sejarah SPM tahun ni, saya jadi teruja. Soalan tentang faktor peperangan di Timur tengah – Syria dan Iraq, serta peranan PBB untuk tamatkan perang. Soalan ni bagi saya sangat relevan. Luar silibus (tentang perang Timur Tengah), luar kotak, relevan dengan isu dan krisis semasa dan menatijahkan penghargaan terhadap pengetahuan sejarah.


Kiranya, kalau semua pelajar SPM tak ada masalah berbincang pasal punca perang Syria dan boleh beri pulak solusi khusus untuk tamatkan, tak lama lagi dapatlah universiti tempatan capai Top 10 dunia! Hebat KBAT!
TAPI itu dengan syarat sistem pembelajaran kita sendiri bersifat akomodatif untuk menanyakan soalan – soalan semacam ini. Bermakna, dalam dua tahun, pelajar kena diajar dulu bahawa sejarah bukan semata – mata peperiksaan dan menghafal apa dalam buku teks. Bermaksud, pelajar difahamkan permaknaan worldview sejarah yang jauh dari sekadar fakta dan tarikh tetapi sebagai alat menyelesaikan krisis dunia dan isu semasa.
Dengan kata lain, sistem pelajaran sejarah perlu SERONOK dan BERMAKNA.
Tapi lain ceritanya kalau sistem pelajaran sejarah kita masih berkiblatkan skor dalam periksa. Masih menghabiskan masa dalam kelas sejarah dengan menyuruh pelajar mengisi modul peta minda dengan fakta – fakta dari buku teks supaya senang nak dihafal sebelum periksa. Masih buat bengkel khusus skor SPM sejarah dengan mendedahkan trick jawapan berdasarkan skema untuk memaksimumkan markah. Masih menekankan mengejar silibus untuk dihabiskan sebelum peperiksaan percubaan, dengan persoalan makna diabaikan di tepi.
Buku skema jawapan yang berlambak dijual cumalah symptom daripada sistem pendidikan yang menggalakkannya.
Maka kalau pengajaran sejarah masih di takuk lama, saya takut, soalan – soalan semacam ni hanya akan dianggap sebagai satu betrayal oleh pelajar. “Aku tak pernah disuruh pun ambil tahu isu semasa dalam kelas, cuma hafal fakta dan isi modul, kenapa tiba – tiba keluar soalan ni dalam peperiksaan besar one off sekali seumur hidup penentu masa depan aku?”
Sungguhpun begitu, saya difahamkan ada beberapa transformasi yang tengah dibuat oleh kementerian pendidikan. Kertas sejarah sekarang open book (Wow!) dan falsafah KBAT yang saya kira sangat mengujakan. Walaupun ada beberapa kesulitan, saya percaya kita tengah ke arah yang betul

Comments