Tahun ini bakal menjadi menjadi tahun
terakhir saya menyambung pengajian dalam Master of Engineering di University of
Sheffield. Cepat betul masa berlalu. Bila dah tiga tahun di UK ni, maka
terfikir juga soalan yang dah lama tak ditanya semenjak pertama kali isi borang
MARA ke luar negara : “Kenapa sebenarnya aku belajar kat luar negara?”
Hakikatnya, bila diingat balik taklah saya
betul-betul memikirkan jawapan bagi soalan ni sewaktu pertama kali buat
keputusan nak terbang ke luar negara selepas SPM dulu. Dengan pengalaman dan
pengetahuan hidup yang tak seberapa, terpaksa pula memilih keputusan-keputusan
penting yang bakal menentukan hala tuju hidup berpuluh-puluh tahun akan datang.
Nak ambil bidang apa? Universiti mana? Nak belajar dalam ke luar negara? Tajaan
siapa?
Mungkin kalau ada perkara yang saya patut
marah pada diri saya yang dulu, adalah kemalasan saya mengkaji betul-betul
pilihan-pilihan saya sewaktu selepas SPM dulu. Masa banyak dihabiskan dengan
menggelupur saja di rumah. Tidaklah saya katakan pilihan saya salah-salah
belaka, tetapi sepatutnya didisiplinkan dulu dengan kajian dan pembacaan.
Alhamdulillah, Allah rezekikan pilihan saya
untuk mengambil bidang kejuruteraan di UK untuk diizinkan oleh-Nya, walaupun
perjalanan yang ditempuh agak panjang dan berliku-liku. Terbangnya saya ke UK
adalah kali pertama saya menjejakkan kaki keluar dari Malaysia. Sebelum itu
paling jauh pun pernah sampai Terengganu.
Pengalaman dan pembacaan saya mengenai
merit pilihan belajar di luar negara ini, sama ada baik atau buruk, saya fikir
baik dikongsikan bersama dengan yang lain. Konteks perbincangan saya
bagaimanapun khusus kepada pengalaman saya belajar degree di UK sahaja,
walaupun diumumkan kepada luar negara kerana pada saya banyak hal yang sama
saja di mana-mana.
Kelebihan Belajar Luar Negara
Pilihan untuk belajar di luar negara
sekadar pengamatan saya terhadap diri saya dan junior-junior rata-rata berlegar
pada kehendak-kehendak dan keinginan peribadi. Nak rasa perkara- perkara baru, nak
dapat didikan di universiti-universiti terkemuka untuk karier pilihan yang
lebih baik, atau mungkin nak tengok salji dan mat saleh. Agak jarang juga jumpa
pelajar yang memilih belajar di UK kerana kehendak dasar pendidikan.
Ada yang sebab nak pergi Old Trafford.
Tapi sewaktu berjumpa dengan
pelajar-pelajar UK bound di Taylors ditemukan dengan seorang junior yang
mengambil perakaunan di London walaupun minatnya pada falsafah dan tak pernah
ambil perakaunan. Waktu ditanya kenapa jawabnya kerana dia baca statistik dari
jurnal-jurnal rasmi katanya kerajaan perlukan lebih banyak akauntan. Agak kagum
juga. Maksudnya ada jugalah pelajar-pelajar yang tentukan masa depan
berdasarkan kehendak dasar.
Maka berikut saya senaraikan beberapa
kebaikan belajar di luar negara yang menjadi pilihan kebanyakan pelajar
1. Pengalaman baru dan unik
Saya kira ini mungkin antara faktor
terbesar yang mendorong pemilihan untuk belajar di luar negara. Bila dah hampir satu perlima abad belajar di
negara yang sama, bertemu dengan orang-orang yang sama, maka timbullah keinginan
nak rasa perkara baru beribu-ribu batu jauh dari rumah. Biasanya orang-orang
yang bersifat adventurer yang akan buat pilihan ni. Iya lah, pengalaman jauh
dari mak ayah, sistem baru, duduk sendiri bukan semua orang sanggup tempuh.
Jujurnya, ini juga sebenarnya sebab utama
saya pilih nak isi borang tajaan luar negara dulu. Saya fikir, perspektif
statik tentang banyak perkara – negara, agama, pendidikan – perlu dicabar. Saya
perlu melihat the bigger picture. Kemudian barulah perbandingan atau penambahbaikan
boleh dibuat.
Apa pengalaman baru paling besar di UK? Dah
pastilah cuaca dia. Cuaca di UK ni sangat….menarik sampaikan dia jadi bahan
paling senang nak berkomunikasi dengan orang di sana. Jumpa tukang kunci dia
borak pasal cuaca, jumpa lecturer borak cuaca. Dalam satu hari, bumi UK ni
boleh bagi 5 jenis cuaca.
Jangan lupa salji! |
2. Sistem belajar
Sistem belajar yang moden juga jadi pilihan
pelajar-pelajar untuk ke luar negara. Mungkin perbezaan paling ketara negara
Malaysia dengan negara – negara maju dari sudut ini adalah kelajuan internet
dan kompleksiti sistem belajar dan mengajar.
Pengurusan database mereka memang
cemerlang. Setiap universiti ada apps masing-masing untuk anda semak
jadual-jadual mendatang serta info-info lain. Bahan-bahan pembelajaran seperti
slaid kuliah diberikan kepada anda dalam bentuk online sebelum kuliah untuk
anda baca dulu sebelum ke kelas. Anda ada profail sendiri yang lengkap dan
mudah diakses. Apa-apa perubahan atau kemas kini yang berlaku akan diberikan
kepada anda dalam bentuk notification, sama seperti sistem facebook.
Internet yang laju buatkan anda tak perlu masak
maggi, tukar mentol bilik dan berlari 10 km sebelum video kuliah anda siap
loading.
· 3. Budaya baru
Isu perbezaan budaya adalah satu topik yang
menarik untuk dibincangkan oleh pelajar-pelajar luar negara. Sebahagian mungkin
berpandangan pendedahan budaya Barat kepada pelajar negara Timur mungkin agak
negatif. Sebahagian budaya seperti cara berpakaian, sosial, parti, pemakanan
mungkin agak bercanggah dengan budaya dan kepercayaan Timur terutama bagi yang
beragama Islam. Rasanya nasihat yang paling kerap saudara-mara di kampung beri
pada anak saudara yang nak ke luar negara adalah suruhan jauhi benda-benda
semacam tu.
Tapi, tak dinafikan ada juga budaya-budaya
yang baik, seperti budaya efisiensi, budaya jalan raya yang mantap, pengurusan
data dan layanan pelanggan yang cemerlang.
Jadi adakah pendedahan budaya-budaya baru
ini baik atau buruk? Saya kira hal ini bergantung kepada pelajar itu sendiri.
Pelajar yang berprinsip akan mengetahui disiplin menguruskan kejutan-kejutan
budaya yang berlaku. Pada saya, melihat budaya-budaya baru ini muktamadnya
adalah baik kerana meluaskan horizon pemikiran. Kadangkala, kita akan lebih
menghargai budaya sendiri apabila ia tiada di negara orang.
Betapa saya rindu nak beri salam pada
tenaga-tenaga pengajar. Di Malaysia, itu satu budaya yang biasa. Di sini ucapan
hormat pada lecturer tak diamalkan maka terasa ada gap dengan mereka.
· 4. Universiti ranking tinggi
Ini juga antara faktor utama pemilihan belajar
di luar negara. Saya kira antara syarat tajaan penaja adalah pelajar mesti
dihantar ke pusat pengajian tinggi yang berprolifik, sekurang-kurangnya top 100
dalam dunia. Bila dihantar ke universiti yang terkemuka seperti Ivy League,
matlamatnya adalah supaya pendidikan yang diterima bertaraf dunia. Dapat
belajar bersama-sama dengan pelajar-pelajar terbaik seluruh dunia adalah satu
peluang yang sangat baik untuk menjadi kompetitif.
Saya kira nama universiti pun dicari yang
gempak-gempak untuk diisi dalam curriculum vitae. Kalau boleh letak nama Uni
Cambridge dalam CV, bukan setakat syarikat-syarikat berebut, orang kampung pun
kagum. Mak ayah apatah lagi.
Bila disebut tentang ranking Universiti,
suatu berita baik yang kita terima adalah kedudukan Universiti tempatan semakin
melonjak dan menghampiri top 100. Teratas sekali adalah Universiti Malaya pada
tangga ke 133. Tak mustahil akan ada pusat pengajian tinggi di Malaysia duduk
sebaris dengan Ivy league, bukan?
sumber |
Keburukan Belajar Di Luar Negara
Ketika tajuk ini ditulis sedang kecoh pula polisi
penghantaran pelajar ke luar negara dipertikai. Saya kira mungkin hanya
kebetulan tetapi isu ni menguatkan lagi keperluan kita untuk sedar sudut
pandang yang berbeza tentang belajar di luar negara.
sumber |
Sekiranya kebaikan belajar di luar negara
berkisar seputar aspek personal, keburukannya pula banyak apabila dinilai dari
sudut dasar dan polisi pendidikan kebangsaan. Saya cuba mencari dokumen-dokumen
rasmi yang membincangkan justifikasi penghantaran ribuan pelajar ke luar negara
saban tahun tetapi tiada. Kalau ada pun naratifnya bersifat negatif.
Apa keburukan belajar di luar negara?
· 1. Kos tinggi
Ini mungkin keburukan paling besar polisi
penghantaran pelajar Malaysia ke luar negara. Di UK- Ireland, tajaan seorang
pelajar untuk tamatkan pengajian kejuruteraan atau perubatan boleh mencecah RM
600 000 – RM 1000 000. Itu untuk seorang. Ditambah lagi dengan polisi yang
menghendaki pelajar bukan Eropah (non-EU) untuk membayar dua kali ganda yuran
pengajian, kerajaan atau penaja perlu berbelanja besar untuk pendidikan di
UK-Ireland.
Mungkin kerajaan Malaysia sanggup
menghantar ramai anak-anak watan ke luar negara berbanding kerajaan negara
membangun lain kerana ia memperuntukkan 16 % bajet untuk pendidikan (sekitar RM
37 billion), jumlah peruntukan tertinggi di Asia Timur.
Jika pelaburannya besar, maka pulangannya
mestilah besar. Akan tetapi kemenjadian pelajar-pelajar luar negara sekarang
hakikatnya sedang dipertikai. Pelan strategik pengajian tinggi 2020
menggariskan bahawa kualiti graduan universiti luar negara hanyalah lebih baik
dari segi persepsi majikan.
Saya tidak pula menjumpai sebarang kertas
kerja yang membandingkan kemenjadian kedua-dua golongan pelajar ini. Tetapi
saya kira indeks kemenjadian pengajian tinggi perlu dirangka untuk membantu
kajian polisi.
· 2. Dasar pengantarabangsaan
Sekiranya anda seorang pemimpin kerajaan,
yang mana satu pilihan anda? Hendak menghantar rakyat negara anda belajar di
universiti terkemuka negara lain atau bangunkan sendiri universiti terkemuka
negara supaya rakyat negara lain pula yang datang ke negara anda? Kerajaan yang
punya aspirasi dan bervisi pasti akan pilih pilihan kedua.
Itulah pendekatan kementerian pendidikan
melalui dasar pengantarabangsaan. Melalui dasar ini, kerajaan mensasarkan 200
000 pelajar antarabangsa dari luar negara untuk datang belajar di Malaysia.
Pelan 2007-2020 merancang agar nisbah 50:50 dicapai antara pelajar antarabangsa
dengan pelajar tempatan.
Pelajar antarabangsa UPM |
Maka, penghantaran pelajar-pelajar ke luar
negara sedikit sebanyak akan menjejaskan aspirasi ini. Ketika universiti
tempatan menerima pelajar asing, pelajar kita pula ‘lari’ ke universiti luar.
Imej dan reputasi IPT tempatan akan sedikit tercemar.
· 3. Talent pool – pelajar2 yang
cemerlang tak sumbang naikkan reputasi uni tempatan
Untuk belajar di luar negara, anda perlu
melepasi pemarkahan yang ketat sewaktu tempoh persediaan di dalam negara. Hanya
pelajar-pelajar yang terbaik yang dapat lepasi kuota yang begitu terhad. Jadi,
saya kira tak salah saya katakan pelajar yang dihantar ke luar negara adalah
antara asset-aset modal insan yang terbaik yang dimiliki negara.
Maka apa akan jadi apabila talent pool
negara dihantar ke universiti luar? Dr Sharifudin Lubis mengatakan bahawa dah
pastilah kualiti universiti tempatan akan merudum kerana mereka tak menyumbang
kepada menaikkan reputasi uni tempatan. Sebaliknya, universiti luar negara pula
yang akan terus meningkat baik kerana menerima sumber pelajar-pelajar yang
berkualiti.
Beliau juga menyambung, dan point ini
buatkan saya terfikir juga. Secara logiknya pelajar-pelajar yang cemerlang ini
tetap akan cemerlang walaupun belajar di dalam negara. Kawan-kawan saya yang
top scorer sewaktu di Malaysia biasanya akan tetap konsisten di uni luar
negara. Jadi bukanlah universiti atau sistem pendidikan yang tentukan
kecemerlangan pelajar tetapi bergantung pada pelajar itu sendiri.
Cadangan beliau adalah untuk buka lebih
banyak universiti cawangan luar negara di Malaysia, bukannya hantar pelajar
kita ke sana. Kalau dulu, kita kena hantara pelajar ke luar negara kerana uni
tempatan tak banyak dan tak banyak bidang pengajian ditawarkan. Tetapi masih
valid ke sebab tu sekarang?
· 4. Isu ideologi dan bertepatan ke
dengan falsafah pendidikan kebangsaan?
Sekali lagi saya tegaskan penulisan saya
ini adalah lebih kepada konteks UK dan negara barat secara umumnya. Mungkin
suatu perkara saya rasakan kurang diambil perhatian oleh kementerian pendidikan
dengan penghantaran pelajar Malaysia ke negara Barat adalah impak ideologi
setempat.
Pelajar-pelajar yang dibentuk oleh
kementerian pendidikan, tidak kiralah di luar atau dalam negara, seharusnya
dipastikan selari pola pemikiran dengan falsafah pendidikan kebangsaan.
Antara isi dan tujuan utama falsafah
pendidikan kebangsaan adalah berkisar kepada kepercayaan kepada Tuhan. Hal ini
selari dengan rukun negara pertama yang kita ikrarkan setiap minggu di sekolah.
Malah, menurut Datuk Dr Syed Othman Alhabshi, falsafah negara kita tak jauh
beza dengan dengan konsensus sedunia Persidangan
Dunia mengenai Pendidikan Muslim Pertama yang diadakan di Jeddah, dari 31 Mac
hingga 8 April 1977. Sumber pendidikan adalah dari wahyu dan akal.
Prinsip ini berbeza
dengan atmosfera negara Barat yang sekular dan atheist-oriented.
Pihak Education
Malaysia London pernah membuat satu program yang mengumpulkan pelajar-pelajar
Malaysia. Dalam program tersebut, dilontarkan beberapa persoalan-persoalan
kritikal untuk mencabar pelajar. Antara persoalan yang terbesar adalah “perlu
ke rukun negara pertama, kepercayaan kepada Tuhan dimansuhkan untuk menghormati
golongan ateis?”. Sangat mengejutkan apabila sebahagian pelajar menyokong
cadangan tersebut dan tidak dicabar. Bagi saya ini suatu red flag yang bahaya.
Sekiranya takungan
pelajar-pelajar yang mindanya berorientasi begini semakin bertambah, dan mereka
sangat berpotensi memegang jawatan-jawatan besar negara, adakah falsafah
pendidikan kebangsaan akan dipinda pada masa akan datang?
Jadi, apa peranan pelajar luar negara?
Tulisan saya ini bukanlah untuk mempertikai
keputusan penghantaran pelajar ke luar negara atau untuk menghina
pelajar-pelajar dalam negara. Saya bersyukur dikurniakan peluang terbang
belajar. Saya juga merasakan rezeki belajar di luar negara boleh jadi lebih
baik untuk saya. Saya tak dapat hidup dua kehidupan dalam satu masa maka jalan
mana yang Allah buka untuk kita maka kita perlu manfaatkan sebaiknya.
Walaupun begitu kehidupan tiga tahun di
sini taklah saya boleh katakan begitu berbeza dengan pengalaman belajar di
Malaysia selama ini. Banyak rungutan-rungutan yang kita dengari dulu juga
diulang oleh pelajar di sini. Lecturer ajar baca slide, sistem periksa yang
muntahkan balik benda yang dibaca last minute, pelajar lewat, ponteng kelas,
kelas 80% kosong, lecturer merungut pelajar main-main, pelajar tak tau nak buat
apa lepas grad, main Dota dalam kelas dan lain-lain.
Pendek kata, tak banyak beza sana dan sini.
Mereka dan kita sama-sama manusia, masing-masing ada masalah dan kelemahan.
Jadi, introspeksi ini sedarkan saya bahawa
bukanlah beradanya saya di sini untuk semata-mata sijil. Ramai orang yang ada
sijil. 10 tahun lagi, nilai sijil graduation ini mungkin akan sama saja
nilainya dengan sijil PMR dan UPSR yang mungkin kini berhabuk dalam almari.
Pengalaman dan cabang hidup yang Allah
pilih untuk kita sebaliknya lebih unik dan berharga. Terpulang pada kita untuk
terjemahkannya menjadi jawapan kepada masalah umat.
Jalinan Ukhuwah Musim Panas ISMA Eropah untuk Membina Mahasiswa Beragenda |
- Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pendidikan
- Dasar dan Pelaksanaan Sistem Pendidikan Kebangsaan
- Isu-isu dan Masalah Adaptasi Antarabudaya dalam Kalangan Pelajar Malaysia di United Kingdom dan Australia
- Buku Dasar Pendidikan Kebangsaan
- Kaji Semula Hantar Pelajar ke Luar Negara (akhbar)
- Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006 - 2010
- Pelan Strategik Pengajian Tinggi 2020
- Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025
Yang pasal kos tu saya setuju sebab tahap penarafan universiti kita pun dah makin tinggi, lebih baik hantar dalam Malaysia je. Kalau terlebih duit, lain cerita la.
ReplyDeletehttp://iiumc.com/biasiswa-luar-negara-adalah-satu-pembaziran/
Lagi satu... saya pernah dengar cerita banyak pelajar Bumiputera dan bukan Bumiputera yang belajar di luar negara akhirnya tak nak balik berkhidmat di Malaysia. Salah satunya, pensyarah saya cerita pasal kisah dia dan kawan-kawan dia. Mereka pelajar tajaan kalau tak silap tapi tak pasti/ingat tajaan mana. Kalau benar, boleh jadi satu sebab kenapa tak berbaloi hantar ke luar negara... Tapi itulah, kalau ada statistik lagi bagus, sayangnya saya tak pasti/pandai macam mana nak cari/semak benda alah tu....
P/S: Banyak perkongsian kat sini menarik la. Terima kasih kerana menulis/berkongsi.
good writing. terima kasih kerana ia berguna untuk saya membantu mewarnakan masa depan anak2 saya jika perlu 1 hari nanti.
ReplyDeletenice..thank you bro :p
ReplyDeleteTerima kasih perkongsian ini. banyak info yang saya dapat
ReplyDeleteTerima kasih dengan jawapan yang mantap ini
ReplyDelete