Speaker’s Corner – Tanpa Ragu ini adalah Tempat No 1 untuk Dikunjungi di UK

Jika anda berkunjung ke United Kingdom anda mungkin berminat untuk ke banyak tempat. Big Ben di London, National Park, Universiti kebangsaan dan Stadium-stadium bola kelab kegemaran anda mungkin mengisi tempat teratas dalam senarai wajib lawat anda. Namun jika anda tanya saya, tempat yang paling unik yang patut dialami sekurang-kurangnya sekali adalah Speaker’s Corner di Hyde Park, London.

Speaker’s Corner adalah suatu sudut di taman Hyde Park di mana di sana, pada setiap hari Ahad, siapa-siapa saja boleh mengatakan apa saja. Anda boleh membuka booth sendiri untuk berdiri mengkritik kerajaan, agama, negara lain atau apa saja pandangan anda. Ketika saya berada di sana baru-baru ini, terdapat seorang mat saleh berpakaian rome menyeru supaya Jesus dibicarakan atas kesalahannya. Kadang-kadang ada juga persatuan vegan menyeru supaya hadirin berhenti memakan daging dan kadang-kala ada persatuan ateis memaki kesemua agama. Menariknya, semua hadirin yang datang boleh mengkritik anda di situ juga.

Debat Terbuka Muslim vs Kristian
Meminta supaya 'Jesus dibicarakan'?


Maka jadilah Speaker’s Corner satu medan debat terbuka, seolah-olah pasar idea. Anda boleh dapati macam – macam jenis orang dari pelbagai latar belakang berdebat tentang berbagai-bagai jenis argumen.  Maka di sana, anda akan melompat dari satu gerombolan ke gerombolan yang lain, untuk pilih debat mana yang anda berminat dengar. Anda juga boleh mulakan debat, ajak saja sesiapa untuk bercakap satu topik, tahu-tahu penonton akan berkumpul dan jurukamera akan datang untuk merakam dan dimuatnaik di YouTube. Bagi peminat dan penonton debat, ini seolah-olah suatu ‘syurga’ kerana hari ahad puluhan video-video baru akan dimuatnaik, semuanya bersumber dari Speaker’s Corner. Menariknya, model Speaker’s Corner London cuba untuk dipraktikkan di tempat lain tapi tidak berjaya, hatta di negara-negara Eropah lain juga.

Keberjayaan dan kemeriahan Speaker’s Corner di London hakikatnya datang daripada golongan beragama yang ingin menyebarkan ajaran agama masing-masing, khususnya Islam dan Kristian. Sewaktu kunjungan saya, hampir separuh daripada speakers adalah daripada kalangan Muslim dan Kristian, masing – masing berdebat mempertahankan aqidah dan pegangan masing-masing. Mungkin ini jugalah keadaan debat terbuka di Baghdad suatu ketika dulu ketika zaman kegemilangan Islam. Bezanya, walaupun minoriti di UK, Muslim tetap teguh dari segi ilmiahnya dibuktikan dengan pemelukan Islam yang berlaku setiap minggu, sedangkan lain pula ceritanya dengan pihak Kristian.

Manakan taknya, di Speaker’s Corner terdapat beberapa tokoh Muslim yang gigih hadir setiap minggu, untuk berdakwah dan berdebat. Terdapat beberapa ‘artis’ muslim Speaker’s Corner kegemaran saya sendiri, sebagai contoh Adnan Rashid yang merupakan pakar sejarah dan mampu merungkai serangan terhadap peradaban Islam, Hashim dan Shabir Yusof yang pakar berhadapan dengan retorik Kristian dan jaguh trinity, dan juga Mansur Ahmed yang serba boleh dan merupakan orang yang dirujuk setiap kali al-Quran diserang. Dari pihak Kristian pula ada Jay Smith, apologist Kristian yang berasal dari US.

Muslim (Brother Hashim) sedang berdebat mengenai Triniti


Bagaimana pula dengan golongan ateis? Bukankah mereka yang sekarang ini seolah-olah menguasai Eropah? Bukankah mereka yang kelihatan seakan-akan pandai berdebat dan mengalahkan golongan beragama?

Persoalan kewujudan ateis di Speaker’s Corner mungkin isu yang paling menarik. Ya, memang ada golongan ateis di situ, dan ya, memang berlaku debat-debat menarik antara golongan ateis dan beragama. Namun, mereka bukan pihak yang aktif. Mereka kebiasaannya tidak membuka booth, tidak memberi pamphlet, tak berdakwah, tak memulakan debat, tapi akan masuk sekiranya dimulakan oleh pihak beragama. Hakikatnya, mereka tiada apa untuk dijual. Mereka seolah-olah jurujual yang pergi ke booth jurujual - jurujual yang lain untuk mengatakan produk mereka tak bagus tapi mereka sendiri tiada apa-apa untuk dijual. Begitu jugalah masalah fundamental golongan neo-ateis masa kini, persamaan mereka hanyalah pada ‘kepercayaan’ bahawa Tuhan itu tiada tapi berselisih dan menyanggahi dalam keseluruhan perkara yang lain. Maka mereka tidak mampu menggerakkan apa-apa gerakan walaupun mungkin gah di laman sosial.

Rob - Ateis regular di Speaker's Corner



Itulah sedikit sebanyak perkongsian saya tentang tempat yang bagi saya, wajib lawat jika anda ke London. Mana tahu, mungkin boleh dan sesuai dibawa ke Malaysia?  

Atau ikut macam bro ni. Boleh juga.

Comments

  1. Cuma kadang2 rasa confuse tgok debat kat youtube. Org kafir mcm nak claim yg agama mereka tu benar. Dan keluarkan ayat Quran yg sy pun tak tahu samada betul atau pun tidak. Sy jadi confuse. Prsaan confuse ni menggugat iman sy. Astaghfirullah. Bimbinglah ku kejalan mu Ya Allah.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Banyakkan hadir kuliah ilmu untuk mantap iman dan banyak doa

      Delete

Post a Comment