Apabila Isu Gender Dipaksa dalam Akademik

Pintu dewan kuliah dibuka, lalu masuklah pemeriksa-pemeriksa viva untuk sesi petang Rabu itu. “Hello all”, Prof Wagg, Dr Gibbs, dan Dr Beagles melangkah ke dalam dewan. Penantian saya dan tiga orang lagi pelajar tahun akhir sudah pun berakhir dan kini tibalah masa untuk kami bersilat mempertahankan thesis masing-masing.  

Projek Akhir Tahun atau Final Year Project (FYP) adalah modul 40 kredit daripada total 120 yang diwajibkan kepada setiap pelajar tahun keempat untuk kursus Masters in Engineering (MEng) di Sheffield. Untuk modul ini, setiap pelajar dikehendaki menulis thesis 50 muka surat berkaitan tajuk yang diberi atau dipilih. Selesai menulis dan menghantar thesis tersebut, pelajar dikehendaki pula membentang dan mempertahankan hasil kerja akademik masing-masing di hadapan panel dalam satu sesi yang dipanggil viva. 

Petang itu jumlah calon adalah seramai 4 orang. Saya, dua orang pelajar Cina dan seorang Mat Saleh lokal. Seorang pelajar Cina tersebut membentangkan FYP berkaitan analisis ‘attack angle’ untuk basikal agar tidak terjatuh apabila merentasi landasan tram. Seorang lagi membentang tentang reka bentuk (design) dan penambahbaikan pendingin hawa. Menarik. Saya pula….. bentang tentang tajuk pelik.. tak apalah, mungkin cerita lain kali.

Tapi yang paling menonjol adalah David. Dia satu – satunya calon yang membawa props, prototype landasan keretapi yang katanya dibuat dan dipotong sendiri, lengkap dengan kabin mini keretapi. Tajuk yang dibentang juga menarik, berkaitan mode of damping kabin tersebut, susunan spring yang bagaimana dapat membuat kabin bergerak paling laju dan jauh. 

“Hello everyone and good evening. Today I will be presenting about my work which is hoped to inspire women to delve more into the field of engineering”

Eh?

Saya lihat kembali tajuk thesis beliau – “The effect of damping on trains and railways”. Err..

“I found that 9/10 students who take engineering are male. I wish my project could help alleviate that issue” ujar David sambil menayang slaid gambar beliau bersama coursemate wanita yang lain. 

Kemudian saya nampak masalah yang fatal. Hanya satu slaid saja yang menyebut tentang faktor gender – slaid objektif. Kesemua 29 slaid yang lain menusuk ke sisi teknikal, frequency, damping quotient dan lain-lain. Dalam 30 minit, tak langsung isu gender dinaikkan semula. Saya mula risau. Saya pernah satu kumpulan dengan David. Dia rajin, pandai dan gentleman. Saya tak nampak sesi soal dan jawab akan berakhir dengan baik untuknya. 

Kerisauan saya jadi kenyataan apabila panel pertama mengajukan soalan:

“Okay, so I appreciate your presentation, equations and the railway prototype you bring in here. But how exactly does your work solve the issue of the lack of female engineers that you posed? Shouldn’t you like… I don’t know… paint the railway pink or something?”

lawa juga sebenarnya.


Lalu satu dewan pun ketawa. Tak habis dengan itu, David dihentam pula oleh panel wanita, supervisor saya sendiri.

“Look, I am sorry, I am trying to just ignore that one slide that you put explaining your project’s motive as it damages your entire presentation and thesis. But I just can’t. It was explicitly stated that your thesis aims at tackling the gender issue but there is nothing in the nature of your work that would contribute to that whatsoever. Nothing from the equations, nothing from the results, nothing from the train prototype”

Muka David mula merah, terketar-ketar cuba menjawab soalan. Saya di belakang menepuk dahi.

David, apa kau dah buat? Kenapa kau paksakan kerja engineering kau dengan isu yang tiada kena mengena? 

Kenapa letak isu gender?

Hakikatnya, sebab David menjadikan perjuangan gender sebagai objektif thesis berkaitan keretapi bukanlah kerana beliau tidak cerdik. Beliau pandai, pelajar Masters dalam salah satu universiti terkemuka dalam jurusan mechanical engineering. Tapi berpunca daripada ‘keracunan’ nilai progresif atau ‘social justice warrior’ dalam kalangan pelajar universiti Britain. 

Nilai – nilai progresif berkaitan penerimaan golongan ‘minoriti’ dan ‘lemah’ seperti golongan LGBT, blacks, pelarian, dan wanita bukan lagi sekadar satu seruan mainstream atau arus perdana, tapi kini turut jadi seolah-olah satu perjuangan pelajar Britain. Di kebanyakan universiti bendera pelangi akan dikibar megah, lebih dari bendera England atau European Union. Bukan sahaja hampir semua uni memiliki kelab LGBT, malah universiti dinilai juga berdasarkan gay-friendliness. Terdapat juga tandas gender neutral, masuklah siapa saja pun. Begitu juga, apabila pertama kali tiba di universiti anda akan ditawarkan dua jenis peta, satu peta ‘normal’ dan satu peta khusus untuk golongan gay supaya mudah mereka mencari gay bar berdekatan. 

Bendera LGBT di Uni Nottingham


Dalam kursus engineering sendiri isu gender dimainkan dan diperbesar waima oleh syarikat gergasi sendiri. Saya masih ingat menghadiri kuliah jemputan dari Rolls Royce dan mereka mengambil hampir 10 minit menceritakan tentang prinsip persamaan gender yang diamalkan dalam budaya syarikat. Terdapat juga badan berpusat Women Engineering Society khas untuk memperkasakan golongan wanita dalam bidang engineering. Maka tidak hairanlah isu gender menjadi suatu agenda dalam kalangan graduan engineering di sini.

Seruan ke arah mengarusperdanakan dan ‘memaksakan’ lensa gender dalam kamus hidup rakyat Britain walaubagaimanapun pergi lebih jauh. Institusi Gender LSE, UK contohnya menyeru supaya kuota gender mandatori diperkenalkan dalam institusi kehakiman, ekonomi, politik dan media. Bermakna, untuk setiap institusi ini perlu ada kuota ketat jantina supaya bilangan jantina seimbang. Seruan mereka yang paling kontroversi adalah apabila mereka mencadangkan juga kuota gender untuk perwakilan di Parlimen. 

Cadangan mereka mendapat kritikan. Pertama, wanita – wanita yang dilantik tidak lagi akan dilihat pada merit dan kelayakan mereka tetapi hanya semata – mata jantina mereka. Posisi – posisi penting berkemungkinan terpaksa diberi kepada pemimpin yang lebih teruk prestasinya. Dengan membuka kuota gender di parlimen juga, perwakilan etnik dan golongan minoriti juga berkemungkinan dibatasi kerana pengehadan calon. Juga, jika pengundi dipaksa mengundi wanita hanya sebab dia wanita, berkemungkinan mereka akan protes dan menghasilkan kebencian terhadap wanita. 

Perbahasan kuota adalah satu isu, ia menunjukkan tahap obsesi rakyat UK terhadap isu gender masa ini terutama bagi permasalahan sosial.  Namun, yang lebih parah dan membimbangkan adalah apabila tasawwur gender turut dipaksakan dalam dunia akademik dan keilmuan, sebagaimana yang dipelopori oleh golongan feminis. 

Bagaimana feminis memaksakan lensa gender dalam sumber ilmu. 

Pertama kali saya melihat argumen tentang nilai akademik feminis rupa-rupanya sudah lama, lebih kurang 10 – 12 tahun lepas, melalui filem Catwoman. Ya, filem yang dinobat antara filem paling teruk sepanjang zaman tu. Macam mana boleh tertengok? TV 3 tayang. Eloklah tu Media Prima. 

Dalam filem tu (jangan tengok kalau anda sayangkan sel otak anda) ada satu adegan di mana seorang bekas professor (perempuan) menerangkan asal – usul catwoman sebagai warisan turun temurun ribuan tahun, datang daripada roh Tuhan orang Mesir, berada dalam rupa bentuk kucing, yang menghembuskan roh tersebut pada orang mati, kemudian jadilah catwoman yang memiliki kuasa melawan jenayah (yup, sekali lagi, jangan tengok). Apabila ditanya kenapa tiada orang percaya, bekas ‘professor’ tersebut menjawab, dalam dua perkataan:

“male academia”

Uhh…. 

Saja cari sebab letak gambar ni

Saya sangkakan adegan tersebut hanyalah satu parodi dari filem yang teruk. Tak mungkin ada ‘ahli akademik’ yang fikir semacam tu. Kemudian apabila membaca sendiri tulisan feminis berkaitan epistemologi dan nilaian ilmu, saya mula yakin bahawa mereka memang serius.

Feminis membuat klaim bahawa ilmu dan sumbernya yang kita gunakan sekarang adalah bias lelaki. Kathleen Lennon dalam tulisan beliau “Gender and Knowledge” contohnya membahaskan argument bahawa masalah – masalah keilmuan dan solusi yang dicadangkan hanya berkisar sekitar pengalaman lelaki dan tidak wanita. Oleh itu timbullah satu bidang ilmu baru yang dipanggil ‘feminist epistemology’ – yang bertujuan mengkaji kesan norma gender terhadap penghasilan ilmu sebagaimana yang dihuraikan oleh Elizabeth Anderson dalam “Feminist Epistemology: an Interpretation and a Defense”. Jadi jenis ilmu yang bagaimana yang terkesan? Kalau yang dimaksudkan oleh feminis ilmu seperti ilmu perundangan, pengurusan, kajian sosial atau sejarah tidak lah hairan sangat. Tapi hakikatnya, dan ini agak mendatangkan kegatalan pada kepala, spektrum ilmu yang paling banyak ‘diserang’ adalah ilmu sains.

Helen Longino yang merupakan ahli falsafah sains dan ahli teori feminisme mendatangkan beberapa kenyataan berkenaan sains yang agak membingungkan. Dalam tulisan beliau “Subjects, Power, And Knowledge: Description and Prescription in Feminist Philosophies of Science”, beliau mengatakan keinginan mengubah sains itu sendiri dan mengharapkan agar diberi kuasa berbuat demikian. Kenapa? Kerana beliau menganggap kesemua masalah yang dihadapi oleh sains sekarang adalah kerana male bias. Umm…. Contoh yang diberikan adalah berkaitan dengan ideologi gender dan sosial yang sering kali digunakan untuk menerangkan suatu fenomena sains. Misalnya, kenapa perkahwinan heteroseksual laki sama perempuan, suatu konstruk sosial yang makin tak relevan menurut feminis, digunakan untuk menerangkan model hubungan nucleus dan cytoplasm? 

Apabila membaca argumen yang dibentangkan, saya sebagai pelajar sains (Alhamdulillah, dah grad pun) terpinga – pinga, kerana saya tak tahu bagaimana hendak diaplikasikan isu gender dalam ilmu tersebut. Ambil contoh persamaan yang merupakan antara undang – undang saintifik paling penting dalam ilmu fizik, Newton’s Second Law of Motion F=ma.  Apa yang male bias dalam persamaan ini? Bagaimana hendak diletakkan pengalaman wanita dalam law ini, sebab Newton lelaki? Memang diakui persamaan ini tidak lagi tepat apabila kelajuan objek menghampiri halaju cahaya dan diganti pula dengan teori Relativiti Einstein, tapi sekali lagi, di mana isu gendernya?

Begitu juga dengan persamaan asas termodinamik The Steady Flow Energy Equation (SFEE) yang menjadi igauan pelajar kejuruteraan selama 4 tahun. Terma yang dilibatkan dalam persamaan tersebut adalah internal energy (J), pressure (N/m^2), volume (m^3), velocity (m/s), acceleration (m/s^2), heat flow (J) dan work (J). Adakah selepas ini perlu diletakkan pula terma baru untuk gender, (Ge)? 

Walaupun sangat membingungkan, sekurang-kurangnya ada ruang untuk bersangka baik kerana premis yang diajukan hakikatnya merujuk kepada falsafah saintifik Kuhn, yang menyebut bahawa praktikal sains hakikatnya dikesani dengan teori dan norma sosial saintis. Namun dalam klaim yang lebih memeningkan, matematik yang dianggap disiplin ilmu yang paling bersifat objektif juga tidak terlepas dari feminis. Xinyan Jiang dalam “Feminist Epistemology, an Introduction” membawa kenyataan bahawa Matematik adalah subjek yang paling ‘masculine’ (?).

Jadi selepas ini seseorang boleh mengatakan 1 + 1 = 2 tidak lagi benar kerana bias lelaki? Atau bagaimana?

Menjantinakan wahyu 

Percubaan feminis mengubah struktur dan metodologi ilmu yang paling kontroversi bagaimanapun adalah apabila mereka mula mempersoalkan sisi gender wahyu itu sendiri. Cuba melihat Kalamullah semata – mata mengguna lensa jantina dan norma sosial Barat.

Di Malaysia kumpulan yang sering dikaitkan dengan hal ini adalah mereka yang menamakan diri mereka Sisters In Islam (SIS). Mungkin ramai yang kenal SIS ini. Tahukah anda wakil SIS, Marina Mahathir sendiri, pernah berdebat dengan pendebat Muslim antarabangsa di London? Sebenarnya saya tak tahu sama ada layak dipanggil ‘debat’ pun, lebih kepada public execution kerana argument yang begitu memalukan dari pihak SIS, seolah-olah ketaq berhadapan dengan Muslim intelektual yang lebih pandai berbahasa Inggeris. Saya jemput anda tonton dan nilai sendiri hujahan ilmiah mereka. 

'Debat' Zara Faris vs Marina Mahathir : Feminism & Islam, Compatible or Conflicting?

Apapun, terdapat satu soalan dalam sesi tersebut yang masih terngiang-ngiang dalam kepala saya dan merupakan representatasi masalah paling besar golongan feminis. Setelah mengatakan cara penafsiran Quran dan Sunnah, yang telah diamalkan ulama zaman berzaman, sebagai ‘suatu isu’, moderator kemudian bertanya kepada pendebat antarabangsa tersebut, Zara Faris sama ada wajar atau tidak wanita diberi kuasa politik untuk menafsir Quran.

Wakil daripada Muslim Debate Initiative tersebut tampak terkejut dengan soalan yang datang dari Melayu Muslim itu, tetapi dengan tenang memberikan jawapan beliau:

“Saya kira ada dua perkara yang tidak relevan (dengan ilmu tafsir), jantina mufassir tersebut dan juga kuasa politik. Tujuan menafsir al Quran adalah untuk memahami kehendak Tuhan, dan untuk menafsirnya, anda perlu menjadi seorang mujtahid. Dan jika anda ada bias, jika anda memiliki agenda politik, hakikatnya penafsiran anda perlu dipertikai!”

Seruan untuk memberikan kuasa politik kepada agenda menjantinakan wahyu hakikatnya adalah satu seruan yang sangat membimbangkan, dan apabila idea ini datang daripada orang Islam sendiri, mendatangkan kerisauan yang amat besar sekiranya golongan ini pulang ke Malaysia dari Barat dan memegang jawatan besar. 

Lantaran mereka diberi ruang mempertikaikan struktur ilmu sains yang dianggap objektif sendiri di Eropah, maka tidak hairan mereka boleh berbuat lebih lagi kepada ilmu wahyu.

Kesimpulan

Bukanlah tulisan ini bermaksud menidakkan dan merendahkan sebarang perjuangan berkaitan gender dan emansipasi wanita. Seruan – seruan tersebut ada meritnya. Tetapi haruslah seimbang dan dibatasi agar tidak melampaui had yang sewajarnya. Menjadikan thesis akademik berkaitan persoalan teknikal dan saintifik dalam kejuruteraan sebagai suatu agenda pemerkasaan gender adalah tidak wajar. Begitu juga dengan memaksakan agenda gender dalam pemahaman wahyu. Apabila kita belajar mengenai ilmu tafsir contohnya, kita akan dapati ia adalah disiplin yang sangat ketat, merangkumi metodologi tafsir Quran dengan Quran, Quran dengan Sunnah, Quran dengan Athar, Quran dengan bahasa Arab dan Quran dengan Ijtihad (Bilal Philips, Usool at Tafseer). Tiada metodologi penafsiran al Quran dengan gender.

Apa pun, istilah dan kefahaman ‘gender’ dan ‘feminisme’ itu sendiri hakikatnya amat longgar dan tidak ampuh. Pengenalan awal mengenai feminism oleh Jane Freedman dimulakan dengan penegasan bahawa ‘kita tidak boleh memberi maksud kepada feminisme’. Karen Offen dalam tulisan beliau “defining feminism: a comparative historical approach” mengatakan bahawa untuk memberi makna kepada feminisme sendiri sangat bermasalah, kerana tiada kriteria khusus, tiada kayu pengukur, dan tiada autoriti dan dah pasti, tiada sumber rujukan wahyu, seperti mana yang dimiliki oleh Islam.

Jadi, bukankah tidak wajar untuk dipaksakan suatu konsep yang samar – samar dan lemah nilai sumber keilmuannya kepada faham yang lain?

Comments

  1. perkongsian yang menarik.

    boleh tak nak minta saudara huraikan lebih lagi tentang pendapat saudara bahawa perkahwinan heteroseksual merupakan konstruk sosial yang semakin tak relevan?

    terima kasih,

    ReplyDelete
    Replies
    1. Itu bukan pendapat saya tapi daripada pandangan Helen Longino feminis. Saya ketengahkan untuk beritahu apa sudut pandang feminis. maaf lambat sangat reply

      Delete
  2. Menarik dan hujah anda disokong dengan rujukan yg releven.

    ReplyDelete

Post a Comment