Aidilfitri | Apa maknanya untuk Muslim di United Kingdom?

Ini kali pertama saya berpuasa penuh di UK, juga, kali pertama menyambut Aidilfitri di sini. Takbir raya, walaupun senada dan tidak mendayu, mendatangkan keinsafan yang berlainan kepada seluruh Muslim di sini seraya menyeru kepada sebuah pencarian makna.

Raya di Sheffield


Hakikatnya keseluruhan bulan Ramadhan tahun ini merupakan tempoh yang sukar kepada seluruh umat Islam di United Kingdom. Konflik melanda minggu demi minggu. Bermula dengan letupan bunuh diri di Manchester, serangan di London yang membunuh orang secara rawak sambil menjerit “Allahuakbar” beberapa hari sebelum pilihan raya, kebakaran Grenfell Tower yang dipenuhi oleh ramai Muslim yang miskin, dan diakhiri dengan serangan pengganas yang melanggar Muslim yang baru selesai Tarawih.

Maka secara langsung nada Ramadhan juga berubah. Kebiasaannya, Ramadhan dijadikan medium untuk Muslim berdakwah, menyampaikan keindahan amalan puasa dan statistik mengagumkan jumlah derma yang meroket naik bila tiba bulan mulia ini. Namun, Muslim UK tidak dapat berbuat demikian tahun ini. Bahasa mereka berubah daripada pengajakan kepada penafian. “Islam is not this” , “It’s not that” dan bukannya “Islam teaches this”, “Islam is that”, bak kata Tariq Ramadhan.

Imam Jumaat masjid lokal terpaksa menggunakan ruang khutbah untuk mengherdik dan memberi amaran terhadap puak khawarij – pengganas. Setiap minggu. Hakikat yang amat sedih adalah berkemungkinan besar orang yang hendak ditegur itu tidak hadir pun solat Jumaat, apatah lagi kelas-kelas pengajian walaupun rumah mereka berhadapan masjid. Majoriti muslim yang bermasalah dan berfikiran radikal adalah dari kalangan penagih dadah, pemabuk, kaki perempuan. Jauh dari masjid dan imam serta ulama, tapi dekat dengan syeikh facebook dan google.

Maka bukan saja mesej kecaman dari segenap Masjid tidak sampai kepada orang yang hendak ditegur, makmum-makmum lain pula yang terkesan. Ramadhan tak lagi dapat diceritakan dalam naratif yang indah, mengusik hati dan ruh, tapi terpaksa pula dinadakan dengan kemarahan terhadap golongan ekstrimis. Bukan salah imam dan pengurusan masjid, mereka terpaksa menunjuk ketidaksetujuan mereka atau habislah disoal siasat oleh Islamophobes. “Why don’t you condemn these acts by Muslims?”. Apabila dikecam, mereka mengatakan bahawa “You are not representing true Islam. These killers who kill in the name of Allah are in fact the following the true teaching of Islam using the Quran and the hadith”. Fuh, panas hati dengar. Slogan ini makin popular terima kasih kepada hate preachers dan propagandist.

Maka apabila berlaku kebakaran Grenfell Tower dan serangan Finsbury Mosque, Muslim jadikan pula sebagai seolah suatu serangan balas dari segi naratif, penceritaan. Grenfell Tower dijadikan naratif muslim yang menjadi mangsa polisi pentadbiran dan kebaikan Muslim menolong mangsa kerana ajaran Islam dan amalan bulan Ramadhan. Serangan Finsbury Mosque pula ditimpal balik kepada seruan ekstrimis ‘right wing’ seperti EDL dan Britain’s First yang menjadi sumber radikalisasi Islamofobia. Pokoknya, Ramadhan tahun ini menjadi medan propaganda, semakin pudar sentuhan rohani yang dah pasti akan memberi kesan kepada golongan muda.

Apa agaknya punca kepada polemik ini?
Pusat bagi permasalahan Muslim di UK mungkin akan sentiasa berbalik kepada isu integrasi. Jika ditanya kepada golongan veteran di masjid-masjid berkaitan Britain, mereka akan menceritakan tentang sentimen penjajahan di negara asal masing-masing. Maka keberadaan mereka di Eropah hanyalah semata-mata kerana sebab ekonomi, mencari kerja tanpa kehendak terikat kepada kewarganegaraan negara. Anak-anak muda generasi seterusnya lantas mengalami masalah identiti dan menjadi teralienasi.

Prof Dr Akbar Ahmed menyenaraikan beberapa perbezaan ketara antara Muslim di Eropah dan Amerika. Di US, muslim terdiri daripada kalangan doktor, jurutera dan ahli akademik yang mampu memberi keyakinan sosial kepada muslim setempat. Di Britain, Muslim adalah golongan berpendapatan rendah dan underclass, walaupun muslim berjumlah 2 juta orang namun tak pernah ada seorang pun yang menduduki posisi di Parlimen. Begitu juga, di US terdapat ‘superstars’ dari kalangan muslim seperti Malcolm X dan Muhammad Ali yang menjadi symbol kebanggaan muslim. Muslim di Britain tak memiliki figura seperti itu dalam bidang intelektual dan juga pop culture.

Maka muslim di Britain bukan sahaja merupakan minoriti yang tidak kuat, malah juga ditekan oleh penduduk setempat dek kerana kepercayaan agama yang dianggap ajaran sesat dan ganas. Penduduk British mahu 2 juta Muslim Britain untuk melunturkan pegangan mereka dan tunduk kepada ‘nilai British’ serta mengiktiraf ‘negara sekular’ (atau Kristian) ini sebagai sesuatu yang layak diberikan kesetiaan 100%. Dah pasti ini bercanggah dengan sumber asal kesetiaan Muslim itu sendiri.

Mencari makna Fitrah
Maka setelah ditimpa fitnah dan ujian yang berat pada Ramadhan ini, Aidilfitri, suatu sambutan kembali kepada fitrah pastinya merupakan suatu persoalan yang kritikal kepada Muslim Britain. Fitrah bagaimana yang hendak diperoleh untuk konteks kami di sini? Mungkin fitrah berdakwah kepada bukan Islam dan bercampur gaul? Mungkin mereka perlu bangunkan kepimpinan Muslim untuk merebut kerusi Parlimen? Memperkasa saudara baru untuk membuang stigma agama asing? Jihad media? Tidak lagi memfokuskan isu khilaf tapi membina kefahaman asas agama? Lebih menyentuh mesej kepada golongan muda?

Apa pun, Muslim Britain bukanlah golongan yang lemah. Terdapat beberapa gerakan yang ‘mencabar seluruh dunia’ dengan mengajak debat pelbagai tokoh agama dan kepercayaan serta ketidakpercayaan lain, terdapat tokoh yang mampu menentang secara langsung pegangan kuat sekular dan liberal, terdapat persatuan kebajikan Muslim peringkat antarabangsa juga gerakan intelek yang menggerak ombak tajdid (revival).

Dah pasti Muslim Britain pasca Ramadan 1438 H akan berubah menjadi lebih baik, menggegar prejudis, menggapai fitrah.


Insya-Allah.  

Comments