Antara Kempen Anti Hari Columbus dan Kempen Tolak Valentine


Mungkin ramai antara kita yang pernah mendengar tentang Hari Columbus (Columbus Day). Bulan Oktober setiap tahun dijadikan hari perayaan kebangsaan Amerika untuk memperingati kedatangan Christopher Columbus ke tanah tersebut pada 12 Oktober 1492.

Tarikh tersebut diisytihar sebagai cuti umum pula adalah pada 1937. Bermakna sudah hampir 80 tahun hari tersebut disambut sebagai suatu perayaan rasmi. 

Logiknya, hari perayaan yang disambut hampir satu abad oleh jutaan manusia dah pasti tiada langsung tentangan dan kontroversi oleh pihak lain. Sekurang – kurangnya, begitulah pemahaman kita terhadap naratif yang berlaku baru – baru ini terhadap isu valentine. 

“Eh, mana boleh kita pertikai perayaan orang lain. Itu eksterim dan biadap! Kena hormat perasaan orang yang menyambut perayaan tu”

Hakikatnya, tentangan terhadap perayaan Hari Kolumbus bukan saja wujud, malah makin mendapat tempat dan semakin diperbesar. Menariknya, rata – rata rakan Malaysia yang saya kenal menyokong protes agar hari perayaan ini dimansuhkan dan ditentang.

Cara protes dibuat pula dah pasti lebih dahsyat dan lantang berbanding mengambil gambar dan menunjukkan “thumbs down”. Protes dibawa ke jalanan, sambil membawa kain rentang mengatakan bahawa ‘Columbus adalah perogol, teroris’, ‘perayaan Columbus day meraikan pembunuhan beramai – ramai’ dan ‘hapuskan Hari Columbus’.






Tidak pula kita dengari pihak yang memprotes ini dilabel sebagai ‘tidak menghormati perayaan orang lain’ atau ‘tidak berhikmah’. Sebaliknya media semakin simpatetik pula kepada gerakan ini.

Kenapa?

Kerana lebih daripada sekadar hari perayaan, Hari Columbus membawa nilai dan mesej yang buruk yang mengguris tasawwur (worldview) hidup orang lain. Hari Columbus dianggap mengangkat nama tokoh yang bertanggungjawab membunuh, merogol dan memperhambakan orang asli. ‘Penemuan’ tanah Amerika hakikatnya adalah satu penipuan. Perasmian hari tersebut sebagai satu perayaan pula adalah satu langkah politik untuk mengangani krisis identiti rakyat Amerika ketika itu.

Bermakna, suatu ‘perayaan’ itu sebenarnya boleh ditentang disebabkan nilai buruk yang dibawa. Boleh dipertikai dan ditolak kerana khuatir anak – anak bangsa akan terus tertipu dan terpengaruh.

Jadi, bagaimana pula posisi kita terhadap perayaan lain yang secara langsung menceroboh hak dan nilai percintaan yang diajar oleh Tuhan?

PEMBINA dan Kempen Tolak Valentine.

Saya bukanlah ahli Pembina. Akan tetapi saya mengikuti perkembangan posisi Pembina yang secara langsung menentang Hari Valentine dengan lantang. 

Saya ambil tahu dan cakna akan kritikan – kritikan yang diterima oleh persatuan tersebut dek kerana kempen Tolak Hari Valentine mereka.

Namun, menariknya ini bukan kali pertama mereka dikritik dan diperlekeh. Tahun lepas kempen Tolak Valentine mereka turut mendapat tentangan yang lantang. Kritikan yang kita baca tahun ini sama saja dengan yang mereka peroleh tahun lepas.

“Kamu tak hormat perayaan orang lain!”, “Macam mana kalau orang non-muslim buat pula kempen tolak Ramadhan, Maulidur Rasul?”, “Kamu geng lebai ekstrimis!”

Tahun ini, bukan saja Pembina tak tunduk dengan kritikan – kritikan tersebut, tetapi dilipatkaligandakan pula kempen Tolak Valentine mereka. Dibuat lebih gencar dan lantang. Kenapa?




Saya percaya kerana pemahaman mereka terhadap realiti anak bangsa yang semakin runcing. Pembina adalah satu organisasi yang bergelumang secara langsung dengan krisis anak Melayu Muslim. Mereka bukan organisasi lekeh, memayungi puluhan universiti tempatan dan memperoleh pelbagai anugerah.

Kempen ini saya percaya bukan dibuat kerana ‘batak like’, tetapi terpaksa. Mereka saya yakin lebih tahu realiti anak bangsa berbanding saya yang lebih selesa duduk di rumah menunggu musim sejuk tamat. Jika ada organisasi yang boleh mencabar status quo hari Valentine, perayaan yang merosakkan anak bangsa, difatwakan haram, dan dieksplotasi pihak berkepentingan ini sebagaimana status quo Hari Kolumbus, saya percaya, merekalah orangnya. 

Comments