Reviu | Debat Is Darwinian Evolution a Fact? Aron Ra vs Subboor Ahmad.


Tonton debat di sini

Bagaimana kita berinteraksi dengan Teori Evolusi? Ataupun soalan yang lebih relevan untuk saya, bagaimana hendak berinteraksi dengan golongan yang mengetengahkan evolusi sebagai suatu fakta, kebenaran, dan senjata paling ampuh untuk memperlekehkan kepercayaan orang beragama?

Perbincangan tentang teori evolusi kini bagi saya jadi sangat penting bila ia menjadi satu topik wajib bila fikrah keagamaan anda bertembung dengan mereka yang tidak beragama, atau tidak percaya kepada Tuhan (Ateis). Evolusi jadi seolah-seolah pintu penghalang antara kita dan mereka. Apatah lagi berada di bumi UK, tempat lahir Charles Darwin itu sendiri, juga tokoh-tokoh anti-Theist yang lantang semacam Richard Dawkins.

Mungkin tindakan yang paling biasa dilakukan adalah cuba lari daripada perbincangan tersebut. Malangnya saya termasuk dalam golongan itu. Latar belakang kejuruteraan saya (lagi 6 bulan nak tamatkan Master of Engineering pada waktu reviu ini ditulis) tak memungkinkan saya memahami dan menjawab soalan - soalan besar berkaitan topik ini. Hakikatnya banyak hal tentang kejuruteraan itu sendiri pun saya tak faham dan tak terjawab kena dengan pangkat saya sebagai pelajar biasa-biasa yang bukan top scorer.  

Akan tetapi teori ini telah menjadi terlalu mainstream untuk kita berharap tak dibangkitkan. Pada setiap ceramah Zakir Naik sekurang-kurangnya seorang penonton akan ke depan bertanya tentang topik Evolusi. Ia menjadi bahan gelak dan troll terhadap golongan agama dalam media sosial. Walaupun kadang – kadang berderau darah baca, tetapi ternyata ia menjadi titik keraguan banyak muslim di era ini, berdasarkan kajian yaqeen institute. Mungkin saya sendiri tak lah begitu terkesan, tapi bagaimana dengan anak-anak muda muslim yang lain?



Respon dan tindak balas muslim dalam kerangka agama kita terhadap isu ini juga menjadi semakin mainstream untuk menyahut permintaan yang sangat besar anak – anak muda muslim yang meminta supaya syeikh – syeikh kita menjawab keraguan mereka. Pihak Kristian di Barat diserang lebih awal, maka mereka lebih terkedepan memformulasi perisai – perisai dalam satu perang yang tampaknya mereka semakin kalah. Orang Islam melihat ancaman ini mula menular maka semakin banyak tokoh – tokoh cuba tampil ke depan menyahut keperluan mematikan ancaman syubhat evolusi ini pada akarnya.

Hakikatnya respon dari pihak Islam juga pelbagai terhadap isu ini. Pandangan popular, setakat fahaman saya mungkin daripada pihak – pihak seperti Lajnah Daimah Saudi, Zakir Naik dan Harun Yahya yang mencantas segala aspek evolusi. Mengatakan teori tersebut hanyalah teori dan salah serta boleh jatuh kufur jika mempercayainya. Mungkin dahulu kita boleh selesa berpegang dengan pandangan demikian, tapi serangan demi serangan oleh pihak pro – evolusi ternyata membangkitkan syubhat. Golongan ini mula diperlekeh baik daripada muslim mahupun bukan muslim.

Kemudian bangkit pula gelombang kedua dari muslim yang, pada pengamatan saya, hidup di negara Barat yang terpaksa berhadapan secara langsung dengan gerakan politik neo – ateis. Maka kedengaran pandangan lain semacam daripada Yasir Qadhi, seorang professor Aqidah dengan latar belakang kejuruteraan, yang mengatakan bukti saintifik yang menyokong teori evolusi hakikatnya tidak dapat disangkal. Muslim tak lagi dapat lari daripada batu penghalang saintifik yang paling besar setakat ni walaupun Quran berjaya menjawab segala macam persoalan sains yang lain dengan jayanya. Beliau lantas mengetengahkan alternatif melihat penciptaan manusia dari neraca keajaiban (miracle). Sebagaimana kita percaya Nabi Musa membelah laut sebagai satu keajaiban walaupun bertentangan dengan hukum alam, begitu juga beliau mengesyorkan kita melihat asal usul manusia sebagai satu keajaiban walaupun bertentangan dengan data kontemporari.


Tapi ternyata posisi agama semakin runcing dengan senjata baru golongan ateis sekular : teori evolusi. Juga pada pandangan saya yang juga sama membimbangkan adalah polemic LGBT. Adakah dengan serangan – serangan dan retorik – retorik berterusan dari pihak ateis, akhirnya mereka berjaya menembusi pertahanan pihak Agama?Lalu saya menonton debat ini, dan ternyata posisi demikian berjaya diterbalikkan.

Menyangkal yang Tidak Pernah Disangkal

Suatu keunikan yang saya saksikan daripada debat ini yang mendorong saya menulis reviu ini adalah ini mungkin kali pertama saya melihat serangan secara langsung terhadap kerangka asas sains. Kebiasaannya, sains (terutamanya sains empirical) diletakkan dalam posisi ‘true by default’ lantas segala macam perkara perlu diseragamkan dengan kehendak sains moden. Debat selama 2 jam ini bagaimanapun mencabar status quo tersebut dengan Teori Evolusi Darwinian sebagai fokus, dan pihak pendokongnya pula yang diserang bertalu – talu.

Debat ini boleh saya katakan agak epik dan panelnya bukan calang-calang. Aron Ra mungkin antara pendokong evolusi yang paling lantang dan berdedikasi menempelak golongan agama. Jika anda terserempak dengan video ratusan ribu tontonan yang memperlekeh kepercayaan anda terhadap agama dan teori evolusi di YouTube, kemungkinan besar datang daripada dia. Saya kira saya tak perlu cerita tentang panel muslim (sebab nanti bias pula).



Tajuk debat ini juga sangat menarik. ‘Adakah Evolusi Darwinian suatu fakta?’. Kata kunci utama bukanlah pada ‘evolusi’, tetapi pada ‘fakta’. Bermakna perbahasan – Alhamdulillah, tidak terlalu berlegar pada proses evolusi dan data - data makmal, tapi pada falsafah sains dan bahasa. Makanya taklah debat ini terlalu jauh di luar capaian mereka yang tiada pengetahuan biologi, semacam saya.

Debat ini juga sedikit sebanyak memberikan sisi pandang lain terhadap pihak yang mendakwa teori evolusi sebagai suatu ‘fakta’ mutlak yang tidak boleh disangkal, lantas pergi lebih jauh dengan mempertikai sistem kepercayaan orang lain. 

Apa yang Saya Belajar daripada Debat Tersebut – Ringkasan

·         Teori Evolusi hakikatnya merupakan sebuah teori yang dianggap berjaya di dalam komuniti saintifik. Ia mampu memberi penjelasan yang baik (accommodate) terhadap pelbagai data yang dikumpul.
·         Teori tersebut lulus kriteria utama untuk menjadi sebuah teori yang kuat – ia membuat ramalan (prediction) dan ternyata ramalan tersebut didapati tepat.
·         Namun begitu untuk mengatakan teori tersebut sebagai fakta mutlak (absolute fact) yang benar dan tidak akan berubah, lalu membentuk dogma baru dan gesaan – gesaan politik dan gerakan sosial adalah meletakkan teori tersebut di luar batasan pengaruhnya.
·         Klaim yang meletakkan teori tersebut sebagai fakta/ kebenaran juga hakikatnya merupakan suatu klaim yang TERLALU BESAR kerana data yang dimiliki ternyata sangat kecil dibandingkan dengan dakwaan pengaruhnya yang meliputi keseluruhan hidupan melangkaui jutaan tahun merangkumi keseluruhan permukaan bumi. Data yang diperoleh tak memungkinkan kesimpulan mutlak untuk dibuat.
·         Data yang dimiliki pula mendatangkan masalah baru iaitu under determination. Pada sample data yang sama terdapat teori – teori lain yang turut mampu memberi penjelasan yang baik. Jika teori Evolusi Darwinian adalah suatu fakta dah pasti tidak akan ada teori penyaing yang pelbagai tetapi hakikatnya adalah sebaliknya.
·         Di belakang teori tersebut sendiri terdapat asumsi (assumption) dan kebarangkalian (possibility) yang terbit daripada penggunaan statistik. Hal ini menjadikan dakwaan teori tersebut sebagai suatu fakta objektif tidak lagi relevan.
·         Teori tersebut menghadapi masalah – masalah lain sains empirical yang turut dihadapi oleh teori – teori sains yang lebih berjaya seperti the Problem of Induction. Ringkasnya, tiada jumlah data, walau sebanyak manapun ditemui, dapat betul – betul mengesahkan kesahihan mutlak sebuah teori sains.
·         Sifat sains yang sentiasa berkembang dan berubah tidak akan pernah menutup kesimpulan teori evolusi. Data – data yang baru boleh saja merubah keseluruhan lanskap sains melalui apa yang dipanggil sebagai anjakan paradigma (shift of paradigm).
·         Newtonian mechanics merupakan teori yang dianggap sangat berjaya selama ratusan tahun. Ia mampu meramal pergerakan bintang dalam jarak masa 200 tahun! Namun apabila berlaku anjakan paradigma dalam dunia sains teori tersebut diambil alih pula oleh teori Kuantum. Jika teori yang dianggap tiada cacat cela tersebut juga akhir ‘tumpas’ maka tiada sebab kita perlu menganggap evolusi sebagai fakta yang tidak akan berubah.

Itulah sedikit sebanyak dapatan saya terhadap debat tersebut yang bagi saya sangat bermakna dan bermanfaat. Dah pasti, banyak lagi yang perlu saya pelajari dan boleh saja ilmu – ilmu baru mengubah atau menguatkan lagi pendirian saya.

Apapun, jika ada perkara yang lebih BESAR yang lagi yang saya pelajari – dah tentu keperluan untuk kita bersikap lebih merendah diri.


Kerana Ilmu Allah itu lebih luas dan tiada taranya. 

Comments