Istanbul memang mantap. Antara
banyak-banyak tempat yang saya dah lawati, saya letakkan Istanbul tempat ketiga
destinasi pelancongan wajib pergi (No 1 dan 2 dah tentulah Mekah dan Madinah).
5 hari saya di situ, jujur kata masih rasa tak cukup.
Kalau anda pergi semata-mata nak melancong
dan tengok kecantikan selat Bosforus, kemegahan Masjid Sultan Ahmet dan
keunikan Aya Sophia, maka pasti puas hati. Tapi kalau anda pergi untuk tengok
dan hargai tinggalan sejarah dan warisan Istanbul yang sangat kaya, maka anda
akan dapat sangat lebih lagi.
Itulah sebabnya saya syorkan dapatkan pakej
pemandu pelancong yang boleh ceritakan pada anda sejarah tempat-tempat popular
yang dilawati. Mungkin sikit mahal, tapi yakinlah, pasti berbaloi. Atau
dapatkan kawan-kawan (jika anda bujang) yang juga seronok berbincang pengalaman
melancong dengan anda. Perasaan ditawarkan botol arak dalam kedai makan muslim
dan halal contohnya lagi bermakna kalau dapat dikongsi dan dibincangkan dengan
kawan-kawan. Atau jika anda jenis pengembara solo, buat sedikit bacaan sebelum
pergi.
Di sini saya nak syorkan bakal-bakal
pelancong ke Istanbul untuk lawat dua Istana di Istanbul, kalau boleh dalam
selang masa dua hari berturut-turut – iaitu Istana Topkapi dan Dolmabahce.
Pengalaman berada di kedua-dua Istana ini mungkin boleh datangkan impak paling
besar jika anda seorang muslim.
Kiri - Istana Topkapi ; Kanan - Istana Dolmabahce. Perbezaan kedua-dua istana sangat ketara |
Topkapi – Syiar Kegemilangan Empayar
Islam Uthmaniyah
Mungkin ramai yang tahu tentang kisah
penaklukan Konstantinopel oleh Sultan Muhammad al-Fatih pada tahun 1453 dan juga hadis nabi tentang sebaik-baik raja dan
tentera. Sultan Muhammad kemudiannya menukar gereja Aya Sophia menjadi masjid
dengan mengekalkan sebahagian besar ciri-ciri Kristiannya. Penukaran ini
hakikatnya agak kontroversi, tapi difahamkan bahawa motif utama penukaran
tersebut adalah kerana pertembungan syiar. Dah pasti pelik apabila bangunan
paling besar dan megah dalam sebuah kerajaan Islam adalah sebuah gereja. Itu
juga merupakan antara tujuan Masjid Biru dibina di bawah kelolaan Mimar Sinan –
supaya orang tidak lagi merasa kagum dengan gereja tersebut sebaliknya
mengalihkan perhatian kepada masjid – lambang negara Islam.
Istana Topkapi |
Begitu juga, setelah penaklukan
Konstantinopel istana yang bernama Topkapi dibina. Selain menjadi pusat
pemerintahan Sultan Uthmaniyah yang merupakan pemimpin empayar paling berkuasa
di dunia selama 400 tahun, Istana tersebut dibina dalam rangka menegakkan syiar
Islam.
Sebaik menjejak kaki dalam tinggalan Istana
Topkapi yang kini merupakan muzium, imaginasi anda bakal melayang ke zaman
kegemilangan empayar Islam Uthmaniyyah. Ayat-ayat al-quran memenuhi segenap
pelusuk dinding istana. Corak geometri yang biasa dilihat di masjid-masjid
membentuk identiti kompleks pemerintahan tersebut. Bilik-bilik dibina secara
bersegmen untuk menjaga ikhtilat (hubungan) lelaki dan perempuan penghuni
istana. Istana tersebut juga pernah megah sebagai pusat ilmu dengan menempatkan
hampir 30 000 buku.
Bahagian mahligai istana |
Melihat lanskap indah tempat pertemuan laut
Marmara, selat Bosforus dan Tanjung Emas di puncak istana, anda mungkin boleh
membayangkan kemegahan umat Islam ketika menjadi kuasa dunia ketika itu.
Mungkin tempat anda berdiri merupakan kedudukan yang sama Sultan ketika
menantikan wakil delegasi dari empayar Islam Melaka. Mungkin salah satu bilik
di istana itu menjadi tempat mesyuarat pemerintah dan ulama membincangkan
perkembangan dakwah. Apa agaknya perasaan umat Islam ketika sultan Sulaiman
al-Qanuni membawa pemerintahan empayar Islam ke puncak? Bagaimana rasanya menjadi
bangsa yang dipandang tinggi oleh seluruh dunia Islam?
Ada tak peluang untuk kita rasai kembali
perasaan seperti tu?
Dolmabahce – Istana Kontroversi Celaru
Identiti
Jika boleh, rangka jadual anda supaya anda
boleh jadikan Dolmabahce sebagai destinasi seterusnya sebaik selepas Topkapi.
Supaya mudah anda buat perbandingan langsung antara kedua-dua istana ini.
Dolmabahce dibina pada tahun 1843 dan siap
pada 1856. Tujuan ia dibina adalah untuk dijadikan pusat pentadbiran utama
empayar Uthmaniyah bagi menggantikan Topkapi kerana istana tersebut dirasakan
“tidak menepati stail kontemporari, tidak mewah dan selesa sebagaimana
istana-istana golongan monarki Eropah”.
Dolmabahce pada musim sejuk |
Topkapi kemudiannya dibiarkan usang dan
terpencil begitu saja sehinggalah republik Turki membuat keputusan memulihkan
semula istana tersebut dan menjadikannya sebuah muzium.
Sebaik melihat Dolmabahce dari kejauhan
anda akan dapati rupa binaan yang sangat berbeza dengan Topkapi. Dolmabahce
amat mirip dengan istana-istana di Eropah dan hampir tiada ciri-ciri seni bina
Islam. Ruang dalaman istana tersebut dipenuhi dengan elemen emas dan Kristal
dan batuan mahal. Anda juga akan dibawa melihat ‘tangga kristal’ yang terkenal.
Istana ini juga bangga dengan koleksi pameran lukisan-lukisan dari Perancis dan
negara Eropah yang lain.
bahagian dalaman istana |
Kos binaan keseluruhan istana tersebut
bernilai sekitar 35 tan emas, atau 1.5 billion dollar dalam matawang kini. Dari
mana dapat dana? Dengan membuat loan dari negara lain, dan mencetak duit kertas
dengan jumlah yang sangat banyak. Perbelanjaan yang besar ini menebuk lubang
dalam dompet negara yang akhirnya menjadi salah satu punca kemerosotan ekonomi
sehingga membuatkan Turki digelar ‘the sick man of Europe’.
Sangat tidak hairanlah apabila rakyat mula
berubah membenci golongan istana sehingga menyebabkan sistem monarki Turki,
sekaligus sistem khalifah, diruntuhkan. Apa agaknya perasaan rakyat apabila
mendengar pembinaan tangga kristal diumumkan sedangkan mereka sendiri tak punya
rumah?
Jujur, saya sendiri rasa sangat marah
apabila melangkah keluar dari istana tersebut. Mungkin begitulah perasaan umat
ketika itu. Dikhianati.
Apa yang Dah Jadi Sebenarnya?
Menyenarai pendek punca sebenar kemerosotan
sebuah empayar bukanlah suatu kerja yang mudah. Apa yang pasti, Islam tak boleh
dipersalahkan kerana Islamlah yang membuatkan mereka gemilang pada awalnya.
Menyalahkan agama atas kegagalan ibarat mengatakan seorang murid itu gagal
kerana terlalu rajin.
Bahan bacaan meletakkan punca awal
kemerosatan khilafah Uthmaniyyah adalah dek kerana kekalahan mereka dalam
peperangan menguasai Vienna pada tahun 1683. Kekalahan tersebut merobek maruah
tentera Turki yang dianggap superpower yang tak pernah kalah mana-mana
peperangan. Ditambah dengan ketandusan pemimpin berwibawa setelah kematian
Sulaiman al-Qanuni, mereka kemudian kalah dalam siri-siri peperangan di Eropah
yang menambahkan hutang negara.
Walaupun umat Islam berjaya melancarkan
revolusi pertanian, saintifik dan Ilmu, mereka tidak berjaya menterjemahkan
usaha mereka ke arah revolusi industri.
Jika diteliti, pembinaan Dolmabahce dibuat
ketika Turki sedang berada dalam fasa Tanzimat – iaitu era modenisasi. Ketika
fasa ini, sistem pentadbiran mula menuju ke arah sekular, pelbagai sistem dari
Eropah diketengahkan, pengaruh mereka yang berpendidikan barat mula meningkat
dan kedudukan istimewa muslim mula dihakis untuk diberikan ‘sama rata’kepada
non-muslim.
Jiwa umat mula berubah dengan meninggikan
ketamadunan Barat dan melupakan kehebatan tamadun sendiri. Ada satu kata-kata yang
dinisbahkan kepada Muhammad Abduh, katanya “aku hairan dengan dunia Islam.
Bagaimana boleh seorang guru gugur tarafnya kepada seorang murid kepada
muridnya?”
Kesimpulan
Jujur kata, saya sendiri kurang pasti apa
pengajaran terbesar yang boleh diperoleh dari kembara di Istanbul.
Mungkin “pemimpin korup punca kejatuhan?”
Mungkin “memuja-muja barat tanda cair identiti?”
Mungkin “meninggikan bid’ah punca agama
diperlekeh?”
Atau mungkin “tak perlu pening kepala
fikir, enjoy je la dah pergi melancong”
Apa pun, Istanbul memang mantap. Lain orang
pergi, mungkin lain dapatannya, tapi percayalah pasti berbaloi.
Rujukan
Rujukan
- Öz, I. (1983). İstanbul. [Istanbul]: Ministry of Culture and Tourism General Directorate of Antiquities and Museums.
- Mohd Roslan Mohd Nor., and Mohamad Zamri bin Mohamed Shapik., (2011). Baldatun Tayyibah, model Uthmaniyyah. Shah Alam: Persatuan Ulama' Malaysia.
- Şahin, S. (2009). The Museum of Turkish and Islamic Arts. New York, NY: Blue Dome Press.
- The last Millionaire Istanbul. (n.d.). Istanbul: BBC.
- Dolmabahcepalace.com. (2016). Dolmabahce Palace. [online] Available at: http://www.dolmabahcepalace.com/ [Accessed 13 Aug. 2016].
- hashim, S. and Rozali, E. (2013). Perjuangan Rashid Rida dalam Gagasan Pan-Islamisme. International Journal of West Asian Studies, 5(1).
- Chapra, M. (2008). Muslim civilization. Markfield, Leicestershire, U.K.: Islamic Foundation.
Comments
Post a Comment