Mungkin satu event yang paling saya kagumi adalah debat bertajuk “Is Sharia Fairer than English Law?” anjuran Lord Strathcarron yang disertai oleh Muslim Debate Initiative sebagai penyokong usul “This House Believes that Shariah is Fairer than English Law”.
Pada mulanya memang saya fikir ini kerja gila. Debat dibuat di UK, sebuah negara yang tak langsung ada fasal Islami dalam struktur kehakiman dan perlembagaan mereka. Malah shariah juga sering jadi bahan ejekan dan kutukan mereka bertahun-tahun. Penindasan terhadap umat Islam sebagai golongan minoriti sememangnya diketahui di UK. Zara Faris dan Abdullah Andalusi mewakili pihak Islam terpaksa pula berdepan dengan seorang Queen’s Council dan hakim Inggeris yang telah bersara. Penonton pula semuanya adalah mat saleh.
“Ini bukan debat, ini public execution” fikir saya. Ditambah pula dengan tajuk debat dengan begitu kontroversi dan konfrontatif, saya fikir hampir mustahil MDI mampu mempertahankan kes mereka.
Tapi lain pula yang berlaku. Shariah ternyata mampu dipertahankan dan bukan itu saja, English Law pula yang digasak hebat. Shariah dibuktikan lebih baik dan mantap dari segi konsepnya, epistemiknya, sejarahnya dan pelaksanaannya. Satu persatu kelemahan English Law dibongkarkan lalu dijelaskan alternatif yang lebih baik dari sistem Shariah. Pihak lawan pula yang terpanar terpaksa mempertahankan English Law di depan audiens mereka.
Apabila ditujah dengan soalan-soalan kontroversi seperti hukum murtad, mereka tidak berdolak dalih mengatakan hukum tersebut tidak lagi sesuai, zalim atau tidak terpakai. Sebaliknya mereka mencabar pula pemikiran pihak lawan yang menganggap hukum tersebut bermasalah. Tidak langsung mereka bersikap apologetik. Mereka memulakan debat tersebut dengan misi memenangkan shariah dan itulah posisi mereka sehingga ke akhir debat.
Hasilnya, salah seorang panel pihak lawan mengaku dengan jelas bahawa Shariah memang sebenarnya adil!
Debat ini memang sangat menakjubkan dan mengubah persepsi saya mengenai hukum Shariah. Saya sangkakan tidak mungkin Shariah yang dianggap barbarik sekian lama boleh menyaingi undang-undang ‘negara maju’ Inggeris. Paling-paling pun saya fikir shariah hanya boleh dibuat dengan toleransi semua orang. Itupun kalau dapat justifikasikan keperluan hukum tersebut.
Hakikatnya kita cuma perlukan tokoh-tokoh berani dan berjiwa menang untuk tampil dan memenangkan hukum Allah ini berbanding sistem-sistem yang lain!
Di Malaysia pula, cubaan untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) telah dicadangkan untuk “memperkasa Mahkamah Syariah yang ketika ini dibataskan kuasa hukuman kepada kadar maksimum penjara 3 tahun, denda RM5,000, 6 kali sebatan syar’ie” (Dr Wajdi Dusuki). Kali terakhir dipinda hampir 30 tahun lepas dan kuasa hukuman yang begitu ringan menjadikan kuasa mahkamah Syariah dipandang lekeh sekian lama.
Akan tetapi, berlaku pula tentangan dari bukan Islam terhadap hal ehwal orang Islam ini di sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan, majoriti muslim dan memiliki sejarah yang panjang ketuanan Islam.
Maka tampillah sebuah badan Islam membuat forum tentang isu ini. Tajuknya...
“Forum Pindaan RUU 355 - Wajarkah Orang Bukan Islam Bimbang?"
…
Kenapa dan ‘Bimbang’ Bagaimana?
Ini kali kedua saya review forum yang saya tonton (saya cadang nak buat banyak lagi insya-Allah, salah satu cara saya berbakti pada ilmu), dan kali ini tetap saya kemukakan permasalahan utama yang sama, iaitu pada tajuk perbincangan itu sendiri.
Biasanya, ahli panel pada permulaan forum akan membentang dan menghurai dulu kehendak diskusi dan membahaskan kata kunci sebagai parameter perbincangan. Malangnya, hanya Prof Shamrahayu yang betul-betul menyoalkan istilah ‘bimbang’ itu sendiri. ‘Bimbang’ adalah suatu bentuk perasaan, persepsi malah. Jika ingin diketengahkan sebagai paksi forum maka perlu dibincangkan ‘bimbang’ yang macam mana?
Adakah bimbang seperti mana bimbangnya pencuri takut ditangkap polis? Adakah bimbang kerana takut undang-undang syariah dikenakan kepada bukan Islam? Kalau begitu tidak wajarkah kita bincangkan kebimbangan terhadap undang-undang sekular yang dikenakan pada semua? Bagaimana kalau kebimbangan tersebut tidak berasas? Mungkin kerana terlalu banyak baca Malaysiakini atau tonton Fox News. Mungkin kerana kurang ilmu atau mungkin kerana masalah psikologi. Kalau bimbang pun, maka yang lebih penting yang patut dibincangkan dan dimasukkan sebagai elemen tajuk adalah kesan?
Kalau bimbang pun, apa maksudnya? Adakah wajar dibatalkan pindaan RUU 355 kerana kebimbangan?
Seorang ahli panel, Dr Mujahid juga mengetengahkan pandangan yang sama. Kata beliau, sepatutnya yang dibincangkan adalah persoalan identiti negara. Saya setuju, tetapi mungkin sedikit bingung kerana saya fikir Naib Presiden PAN sepatutnya ada say dalam menentukan tajuk forum IKRAM? Atau bagaimana?
Malangnya isu utama yang diketengahkan tajuk tidak disentuh selama hampir 70% forum. Sebagai seorang yang tidak berpendidikan undang-undang, saya menghadapi masalah mengikuti perbahasan yang agak teknikal terutama sekali pada pusingan kedua. Jadi, mungkin forum ini tidak berapa accessible untuk semua orang. Tidak mengapa, saya anggap ilmu-ilmu baru untuk saya terokai.
Bagaimanapun, persoalan utama saya adalah mengapa begitu banyak masa dibincangkan tentang hudud? Terutama hudud Kelantan? Bukankah dah diterangkan awal-awal lagi oleh Prof Sham bahawa “Akta 355 tiada perkaitan dengan pelaksanaan hukum Hudud?”.
Persoalan hudud dijadikan medium perbincangan tajuk. Isunya, bukankah kebimbangan akan timbul sekiranya hudud dikenakan ke atas orang bukan Islam? Saya kagum dengan Dr Zuhdi dari PAS yang mencabar semula dengan mengatakan “Kalau dikenakan kepada orang bukan Islam pun apa masalahnya?”
Memperkasa Non-Muslim
Jika diperhati, penganjur sebenarnya memberikan kuasa forum kepada wakil DAP juga satu-satunya wakil bukan Islam, malah seorang yang lantang mengatakan ketidaksetujuan pada pindaan RUU 355 - YB Howard Lee Chuan How (Pengarah Biro Hal Ehwal Antarabangsa Sosialis Muda DAP - DAPSY).
Ini sebenarnya masalah paling besar saya dengan forum ini. Sejujurnya, saya merasakan kesemua panel muslim yang lain di atas pentas seakan dipergunakan.
Spotlight sejak dari awal lagi sebenarnya disuluh pada wakil DAP ini. Disebabkan kehendak tajuk adalah ingin tahu perasaan orang bukan Islam, maka Howard sebagai satu-satunya non-muslim sebenarnya diberi kuasa untuk menentukan kesimpulan tajuk dari awal lagi.
Hal ini terbukti di pusingan penggulungan. Setelah Prof Madya, Ustaz, Dato’, Penyelidik Parti Islam dan Felo IKIM menggulung dengan mengetengahkan keperluan toleransi, berbincang, muzakarah dan berlapang dada (the usual, cliche, peaceful stuffs), Pengarah Biro Hal Ehwal Antarabangsa Sosialis Muda DAP menyambar peluang mengatakan bahawa memang SANGAT WAJAR orang bukan Islam bimbang.
Maka itulah kesimpulannya. Wakil DAP non-muslim ni mewakili jutaan non-muslim di Malaysia mengatakan mereka tak ok dengan pindaan RUU 355 milik orang Islam. Sebenarnya tak perlu diterang panjang lebar pun instrumen pemerkasaan syariah, bercanggah ke tak dengan perlembagaan dll, tajuk dah pun dijawab semenjak wakil panel dipilih lagi. Dapat pula disiarkan live dan memalukan sarjana Islam kita.
Ubah Cara Kita Persembah Keimanan Kita
Sebenarnya, bagi saya naratif penceritaan syariah yang digembar-gemburkan kepada masyarakat di Malaysia adalah bersifat buruk sejak dari saya kecil lagi. Jarang sangat saya dengar naratif yang benar-benar menjulang Syariah, kebaikannya dan ketinggiannya melebihi kesemua sistem lain. Jujur, saya sendiri pernah merasa ragu-ragu dengannya.
Agak ironi apabila saya temui suara peninggian hukum Allah di sebuah negara sekular minoriti Muslim yang sering pula ditindas.
Mungkin dah tiba masa kita, terutama sekali pendiri Persatuan-persatuan Islam untuk berhenti mengetengahkan naratif berjiwa kalah terhadap shariah yang kita cintai ini.
Comments
Post a Comment