Suatu ketika saya pernah digandingkan
dengan seorang rakan makmal berbangsa India dan seorang mat saleh. Selesai
eksperimen, kami terpaksa menunggu untuk dapatkan data. Maka kami pun
berboraklah tentang macam-macam perkara.
Rakan India saya ni datang dari Tanah Besar
India, maka sampai suatu titik perbincangan dia mula bercerita tentang
negaranya. Katanya, “Kalau British tak datang ke negara India, dah pasti kami
lebih mundur dari sekarang. Kalau tiada mereka tiadalah keretapi dan teknologi
yang kami manfaatkan sekarang”.
Maka saya membalas “Kamu ni fikir sebiji
macam apa yang penjajah kamu nak kamu fikir. Mana kamu tahu kalau mereka tak
datang dan kacau negara kamu, kamu takkan maju? Bukan ke dulu negara India satu
empayar yang agung? Mereka datang ke negara kamu bina keretapi bukan untuk
kemudahan rakyat negara kamu tapi nak mudahkan angkut hasil bumi kamu”.
Pada masa yang sama, George membisu
menunggu data yang tak sampai-sampai.
Tidak Sepatutnya Sekadar Sijil
Berada di luar negara selaku pelajar,
mungkin kita akan alami beberapa pengalaman yang membuka persoalan semacam isu
identiti, budaya juga sejarah. Bila tiba bulan lapan, mungkin akan terdetik
juga persoalan tentang makna kemerdekaan.
Hakikatnya, persoalan erti kemerdekaan
sedikit berubah spektrumnya apabila belajar atau mungkin bekerja di luar tanah
air sendiri. Apatah lagi agak ironi apabila belajar pula di negara kolonial
yang suatu ketika pernah menjajah watan.
Kalau dulu kita pernah belajar tentang
perjuangan dan jerih perih nenek moyang menentang penguasaan Barat dalam
segenap aspek, baik campur tangan identiti, politik, pentadbiran dan agama,
kini sebahagian pelajar dihantar pula ke negara-negara itu. Sebabnya mudah,
diharapkan dapatlah pelajar-pelajar ini membawa pulang ilmu ataupun teknologi
yang berguna dari Universiti terbaik dan terkemuka dunia.
“Learning from the best” adalah satu polisi
yang baik untuk ubah fabrik masyarakat bagi sebuah negara yang baru mula merangka
semula kemegahan setelah dijajah hampir 500 tahun.
Namun begitu, selain dari memerah akal
memahamkan silibus kursus dan mengejar sijil, pelajar Malaysia di Eropah
sebenarnya ada tanggungjawab yang lebih besar dari itu. Mereka perlu membuat
perbandingan yang kritikal. Mereka perlu menganalisa fabrik sosial dengan
autoriti visual yang mereka ada. Mereka perlu mengekstrak makna yang lebih
besar keberadaan mereka di sana untuk diterjemahkan ke arah keperluan hakiki
negara mereka.
Bagaimana Fahami Merdeka di Bumi Eropah
Maka macam mana caranya seorang pelajar
Malaysia di bumi Eropah boleh hayati erti merdeka beribu-ribu jauhnya dari tanah
air?
Mungkin antara perkara bermakna yang boleh
kita pelajari di bumi Eropah adalah cara mereka berinteraksi dengan sejarah
mereka. Sejarah bagi mereka bukan sekadar teori yang diajar dalam silibus
sekolah, tetapi mereka hidup dengan sejarah. Universiti terbaik mereka adalah
universiti yang paling tua. Istana-istana lama dipelihara dan dijaga dengan
baik. Tokoh-tokoh intelektual klasik disebatikan dalam pendidikan mereka, malah
dicetak pula pada wang tunai mereka.
Dengan kata lain, mereka ada identiti. Itulah
ciri bangsa merdeka yang perlu kita terapkan pula dalam negara – kukuhkan
identiti melalui peneguhan sejarah.
Mungkin juga erti merdeka itu pada
pemahaman kita bahawa kita bukanlah lebih rendah dari mereka, orang Barat. Mereka
juga lewat ke kelas, gagal periksa, cuai dan tidak matang. Malah pengalaman
saya bersama ‘groupmate’ Inggeris kadang-kadang perangai mereka teruk sehingga
menyusahkan kumpulan. Pokoknya, sikap ‘inferiority complex’ yang menganggap
orang Barat lebih hebat dari segenap aspek hendaklah dibuang. Allah berikan
kejayaan kepada mereka yang berusaha.
Atau mungkin makna merdeka di bumi Eropah
itu boleh dicari pada hening tiga pagi. Tatkala mereka seluruhnya berpartian,
berfoya-foya dan bermabuk-mabukan, sekumpulan manusia kecil manusia mengekang
nafsu mereka berjalan menuju ke rumah Allah. Dalam satu barisan manusia-manusia
ini yang berkulit putih, coklat dan hitam sujud merendahkan diri di hadapan Tuhan.
Mungkin hakikat merdeka adalah apabila dipilih Allah untuk bersama dengan
manusia-manusia ini.
Manfaatkan Peluang yang Ada
Ringkasnya, apa jua kesimpulan yang kita
gariskan melalui keberadaan kita di luar negara ini terdapat suatu hakikat yang
perlu kita sedari, tak semua orang dapat peluang terbang ke luar negara. Maka seharusnya rezeki ini kita manfaatkan
sebaiknya untuk menyumbang jawapan kepada persoalan-persoalan yang lebih besar
yang didambakan umat.
Maka benarlah kata-kata Allah;
“Maka
tidak pernahkah mereka berjalan di bumi, sehingga hati (akal) mereka dapat
memahami, telinga mereka dapat mendengar? Sebenarnya bukan mata itu yang buta,
tetapi yang buta ialah hati yang di dada” Surah Al-Hajj (22: 46),
Comments
Post a Comment