Pengalaman berpuasa di luar negara, terutama sekali di negara Barat
seperti United Kingdom sememangnya menggamit memori yang istimewa. Buat yang
pertama kali menempuh Ramadhan di Eropah, pasti akan merasai beberapa
pengalaman yang jarang dapat ditemui di tanah air. Di sebalik kesukaran dan
kesulitan menahan lapar dan dahaga di seberang, tersemat keunikan yang pasti
menggamit senyuman apabila direnung semula.
1. Puasa lebih 19 Jam
Ini mungkin situasi yang paling obvious. Ketika ini bumi
Eropah sedang mengalami musim panas, maka waktu siang lebih panjang beberapa
jam daripada musim – musim yang lain. Tambahan lagi, suhu yang panas di Eropah
tak boleh dipandang enteng. Tak seperti Malaysia, rumah – rumah di UK tidak
dipasang kipas, apatah lagi pendingin hawa.
Sahur tamat pada pukul 2 pagi, maghrib pula pada pukul 9.30 pm.
Selesai berbuka dan solat Maghrib, Solat Isyak dan Tarawih pula sehingga pukul
12 malam. Jika tidur, maka pasti terlepas sahur. Jadi terpaksa tahan mengantuk
selama 2 jam.
Tempoh Berpuasa Seluruh Dunia |
2. Merasa Menjadi Minoriti
Sesampainya di bumi Eropah, maka status seorang muslim dari Malaysia
tidak lagi sebagai majoriti. Hal ini mungkin terasa lebih berat pada bulan
Ramadan. Tiada azan Maghrib menemani anda ketika berbuka puasa. Bazaar Ramadhan
mungkin hanya ada 2 atau 3 kali sebulan. Tidak terasa kehangatan bulan Ramadan
di Universiti atau tempat kerja. Dalam batch anda, mungkin hanya anda seorang
yang berpuasa. Amat sukar untuk mencari kesempatan bertadarus bersama.
Tapi hakikatnya perasaan menjadi minoriti merupakan suatu nikmat.
Anda mula menghargai hal-hal yang anda anggap remeh di Malaysia. Anda mula
merasa rapat dengan komuniti Muslim setempat. Anda mula merasa rapat dengan
masjid, kerinduan terhadap tawa girang kanak – kanak dan bacaan Quran menjadi
pengubat rindu. Malah, sebenarnya apabila berpuasa, anda terasa bersatu hati
dengan umat Islam secara keseluruhannya, walaupun berseorangan. Apatah lagi,
Ramadhan merupakan amalan beragama yang paling disambut besar – besaran dalam
peringkat global.
Tadarus Bersama - antara Nikmat yang Sukar Diperoleh di Negara Barat |
3. Berbuka Puasa Bersama Komuniti Muslim Berbilang Bangsa
Di tanah air, waktu yang paling menyeronokkan pada bulan puasa sudah
pasti berbuka bersama keluarga. Namun, di luar negara komuniti Muslim setempat
pula menjadi keluarga anda. Sekiranya anda berbuka puasa di masjid, anda boleh
menjalin ukhuwah dengan saudara Muslim dari Somali, Indonesia, Pakistan, Arab,
Cina, Britain dan banyak lagi. Makanan – makanan yang dihidangkan pula pelbagai
jenis, nasi arab, samosa, briyani, kari, ayam, kambing dan pelbagai variasi
lagi, bergantung kepada giliran kumpulan yang hidangkan makanan, dan juga
masjid itu sendiri. Sesetengah masjid peroleh infaq yang begitu banyak sehingga
mampu menjamu buffet setiap hari.
Dah pasti, bagi orang yang bujang dan menghadapi masalah memasak
iftar setiap hari (baca: malas dan tiada duit) tersenyum berbuka puasa di
masjid.
Iftar di Masjid |
4.Menjadi Identiti Kebanggaan
Bulan Ramadhan menjadi lambang kebanggaan Muslim di negara bukan
Islam. Ia merupakan suatu amalan yang paling unik dan disertai oleh hampir 1.6
billion manusia. Maka, kedatangan Ramadhan diraikan oleh bukan sahaja Muslim
tetapi turut diketahui oleh bukan Muslim. Saban tahun di Britain, Perdana
Menteri akan berucap meraikan amalan berpuasa bagi memberi sokongan kepada hampir
3 juta Muslim di negara tersebut. Akhbar – akhbar pula akan melaporkan sikap
terlebih dermawan orang Islam apabila tiba bulan Ramadhan.
Masjid-masjid pula akan membuat majlis iftar dengan menjemput
bersama orang bukan Islam. Lebihan makanan akan diberi pula kepada gelandangan.
Program “Mosque Open Day” akan diperbanyak untuk menerangkan keindahan Islam
kepada penduduk setempat. Di Universiti pula, amalan berpuasa menjadi titik
perbualan yang ampuh. Kadang-kadang sebahagian rakan – rakan bukan Islam berminat
mencuba sendiri berpuasa penuh satu hari. Peluang ini digunakan untuk mengajak
mereka mengenali ajaran Islam dengan lebih baik lagi.
Hari Terbuka Masjid |
5.Merasa Sendiri Keajaiban Pemeliharaan al-Quran
Satu lagi pengalaman menarik yang mungkin agak ‘halus’ pengajarannya
adalah merasai sendiri kehebatan pemeliharaan al-Quran. Ramadhan sememangnya
diketahui sebagai bulan diturunkan al-Quran, maka aktiviti membaca dan
menghafal al-Quran dijalankan dengan sangat giat. Tetapi, di luar negara,
penghayatannya agak berbeza.
Bayangkan, anda boleh bersolat Jemaah di mana-mana sahaja masjid,
milik mana-mana sahaja komuniti. Anda boleh bersolat di belakang imam Yaman,
Saudi, Pakistan, China, Malaysia, Brunei, UK tanpa sebarang masalah kerana
mereka membaca al Quran yang sama. Malah, kadang-kala anda boleh melihat
saudara muslim Britain memperbetul bacaan imam Pakistan dan kadang-kala anak
Somali berumur 12 tahun juga boleh memperbetul imam yang sudah tua dan
berjanggut. Perkara ini tidak mungkin boleh dicapai sekiranya al-Quran itu
korup dan dan tidak dipelihara oleh Allah. Keajaiban ini jelas amat dicemburui
oleh penganut agama Kristian setempat kerana mereka memiliki Bible yang
pelbagai versi yang tidak disepakati secara global. Jelas, walaupun memiliki
pelbagai perbezaan dan konflik, umat Islam memiliki titik pertemuan yang sangat
ampuh iaitu al-Quran.
Comments
Post a Comment